Sepasang mata tua merenung jauh melalui kekisi tingkap banglo dua tingkat itu. Keadaan sekeliling sepi, sesepi hatinya kini… walaupun begitu, hatinya masih berbunga harapan… harapan yang takkan pudar buat selamanya.
“Pakcik, dah tiba masa makan ubat.” suara lembut yang menegur mematikan lamunannya. Seorang gadis muda berbaju pink tersenyum lembut ke arahnya. Gadis itu meletakkan dulang yang berisi ubatan di atas meja, kemudian menolak kerusi roda pakcik tua itu ke tepi katil. Dengan berhati-hati gadis itu memapah pakcik tua itu ke atas katil.
“Kenapa pakcik termenung kat tepi tingkap tu? Kenapa pakcik tak bermain ke, menonton tv ke dengan rakan yang lain?” sambil menyuapkan ubat, gadis itu cuba berbual dengannya. Namun hanya kebisuan yang menjawab.
“Pakcik nak apa-apa lagi?” pakcik tua itu menggeleng lemah.
“Baiklah, kalau macam tu Siti keluar dulu. Kalau pakcik nak apa-apa, panggil je Siti ye!” tidak penat gadis itu agaknya melayan kerenah orang tua di sini. Walau seharian dia melayan lebih 50 orang-orang tua di sini, dia masih boleh tersenyum dan bersuara lembut.
Tiba-tiba hatinya sedih, kalaulah anak-anaknya seperti Siti…. perlahan air matanya mengalir.
“Ayah ni, berapa kali saya cakap… ayah tu dah tua, janganlah nak berlagak muda! Sekarang dah jadi macam ni siapa yang susah!” herdik anak sulungnya, Sofia. Bukan dia sengaja nak memanjat almari tu, tapi dia kesian melihat cucunya yang beria-ia benar nak mengambil alat mainan tapi tidak dipedulikan oleh ibunya. Lalu dia mengambil kerusi dan cuba memanjat dan mencapai mainan apa yang ada tapi…
“Kan saya dah kata, ayah jangan panjat tinggi-tinggi… bila jatuh menyusahkan orang! Ayah ni degil betullah.” Dia terdiam, hanya tertunduk merenung lantai sambil mulutnya mengaduh kesakitan apabila diurut kasar oleh Sofia.
“Dah, mari sini! Duduk diam-diam kat sini!” pelik betul si Sofia ni, asal bersuara saja dengan dia tak bolehlah perlahan… asyik nak menengking je.
“Ayah abang tu menyusahkanlah… Sara dahlah penat nak bekerja, balik nak melayan orang tua tu pula. Mengada-ngadalah…” rungut Maisara, menantu keduanya kepada Faisal.
“La… apsal pula. Apa lagi yang tak kenanya ni?”
“Ayah abang tulah…. abang, esok hantar jelah kat rumah adik-beradik abang yang lain. Tak larat dah saya nak melayan orang tua tu!”
“Hantar ke mana lagi? Kak Sofia baru saja hantar ayah ke mari, takkan kita nak hantar ke rumah Syima pula. Awak kan tahu keadaan mereka tu.” Ujar Faisal lembut.
“Ah, kak Sofia tu memang mengada. Saya tak peduli, ayah tu ayah mereka juga, bukan ayah abang je tau! Syima tu kenalah juga bergilir menjaga ayah!” pedih hatinya mendengar perbualan anak dan menantunya. Esoknya, awal-awal lagi mereka menghantarnya ke rumah adik Faisal dengan alasan mereka tidak dapat menjaga ayah kerana mereka ada urusan kerja di luar. Mengeluh Syima melihat abang dan kakak iparnya tergesa pergi selepas meninggalkan ayah mereka.
“Macam mana Ma?” tegur suaminya, Yusuf separuh berbisik.
“Entahlah bang. Kalau kita berpindah, ayah macam mana pula, siapa nak jaga ayah?”
“Alah, abang dan kakak awak tu kan masih ada, suruh jelah mereka jaga ayah. Lagipun, sekarang ni pun keadaan kita dah macam ni, lepas berpindah nanti entah macam mana pula lah rupanya, takkan kita nak bawa ayah sekali.” Jelas suaminya.
“Kalau mereka nak jaga ayah, takdelah mereka buat ayah tu macam bola… kejap ke sana kejap ke sini.” luah Syima pula.
“Abang dan kakak awak tu memang pentingkan diri sendiri. Mereka jauh lebih senang dari kita, tapi nak suruh jaga ayah sendiri yang sorang ni pun susah.” Rungut Yusuf. Syima terdiam.
“Apa pun, nanti kita kena jumpa dengan abang dan kakak awak tu…”
“Kakak bukannya tak nak jaga ayah, tapi kakak pun bukannya orang senang. Nak jaga keluarga, nak jaga anak lagi, susah tau!” luah Sofia apabila diminta oleh Syima untuk menjaga ayah mereka.
“Syima bukannya apa, tapi kami pun bukannya senang. Tempat yang kami nak pergi pun tak tetap lagi, macam mana nak bawa ayah bersama.” Jelas Syima sayu.
“Saya bukannya tak nak jaga ayah tapi saya dengan Sara ni kerja, ayah duduk sorang kat rumah bahaya. Lagipun, kami tak percaya nak cari pembantu di rumah, zaman sekarang ni tahu jelah. Kalau nak upah nurse pula, upahnya bukannya sikit.”
“Alah, kalau nak dibandingkan dengan apa yang kau ada… apalah sangat!” potong Sofia.
“Kak, akak ingat upah jururawat peribadi tu murah ke? Dah tu macam kami kata tadi, kami tak percaya sangat orang zaman sekarang. Lagipun, duit yang kami cari tu dengan penat lelah kami tau… bukannya datang bergolek je!” berbisa sungguh kata-kata Maisara.
“Habis tu, macam mana sekarang ni?” tanya Syima untuk mendapatkan kepastian.
“Susah-susah, hantar je ayah ke rumah orang tua…. tak payah nak risau!” kata-kata Maisara menyebabkan semua terdiam.
Hancur hati pakcik tua yang sedari tadi memasang telinga mendengar kata-kata anak menantunya itu. Perlahan dia mengelap air matanya yang bertakung.
Akhirnya, anak menantunya sepakat menghantar dia ke rumah orang tua. Itupun hanya Syima dan Yusuf yang menghantarnya kerana yang lain sibuk.
“Ayah… nanti kalau hidup kami dah senang sikit, Syima dan abang Yusuf akan jemput ayah pulang ye!” dia hanya mengangguk.
“Kalau senang kami akan datang melawat ayah! Maafkan kami ye ayah.” air matanya mengalir perlahan mengiringi langkah anaknya. Dia yakin yang anaknya akan menjemput dia kembali…. walau sudah 7 tahun menunggu, bukan saja khabar malah bayang pun tidak nampak, namun di hatinya tetap menaruh harapan….
Malam itu, dia termimpikan segala kenangan antara dia bersama dengan anak-anak dan arwah isterinya. Dalam tidur, dia tertawa dan tersenyum sendiri mendengar celoteh dan melihat telatah anak-anaknya. Dia terus lena dibuai mimpi….
“Pakcik… pakcik…. pakcik bangun pakcik.” Beberapa kali Siti menolak badan pakcik tua itu perlahan namun dia tetap membatukan diri.
“Pakcik, bangun pakcik…. Siti nak mandikan pakcik….” namun tubuh tua itu tetap kaku. Siti merasa hairan lalu dia meletakkan jarinya di bawah hidung pakcik tua itu tapi… dia cuba mencari kepastian dengan mendengar bunyi degupan jantung namun… dia tak berpuas hati lagi, dia cuba mencari denyut nadi sayangnya…
“Ya Allah! Innalillahi wa inna illaihi roji’un…” perlahan dia bersuara. Perlahan-lahan dia menarik selimut melitupi wajah tua yang tenang itu. Air matanya mengalir perlahan mengenangkan pemergian pakcik tua itu tanpa ditemani oleh sesiapa pun. Hasratnya untuk bertemu dengan anak-anaknya juga tidak kesampaian….